Bila disebutkan tentang solat, semua orang fikir itu sudah memadai bagi kita memperingati Allah sebagai Tuhan dan Pencipta, tapi benarkah dengan solat saja itu sudah memadai? Adakah kita 'tahu' kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita 
'faham' dan 'jelas' samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun 
belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti 'checklist' 
berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT 
menepati cinta paling utama di hati kita.
- Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
"Allahu akbar! Allahu akbar!" Allah SWT memanggil. Tika itu kita 
sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita 
pada panggilan-Nya? "Di atas nama cinta pada yang selayaknya...kunafikan yang fana..." 
Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab 
esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan 
keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika 
Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah 
SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan 
berasal daripada diri kita sendiri. 
Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada
 Allah SWT berkata begini: "Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans
 ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah." Sudahkah ditanya kepada 
Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT 
diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita 
utamakan. Seperti cinta seorang isteri kepada suami, patuhnya isteri kepada suami menjaga aib suami dan menjaga harta dan hak suami. Sudah tentu pelbagai perkara dipatuhi, begitulah kasih kepada Allah perlu lebih daripada ini.
Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka 
menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya 
tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa 
yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita 
memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik
 bergelumang dosa tanpa taubat?
- Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya 
apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email 
daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu. Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya. Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda,  "Bacakan al-Quran kepadaku." Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa':  ayat 41. 
Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata 
sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim). 
Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya'ri yang 
sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan
 menangis. (HR BukhariMuslim). Suatu saat Abu Musa al-Asya'ri datang kepada Umar. Umar 
berkata,"Ingatkan kami kepada Tuhan kami." Lalu al-Quran dibacakan. 
Umarpun menangis.
Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. 
Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi 
perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap 
al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan 
facebook.
- Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat 
memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh 
memandang 'kebesaran-Nya'. Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang 
menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut 
yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya 
membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha
 Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa 
kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa 
ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita 
semakin cinta kepada Ilahi.
- Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan 
akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas 
lalu sahaja. Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung 
bakal ibu mertua?  Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan? Bagaimana pula saat berhadapan dengan 'orang besar' atau Raja? 
Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita
 memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. 
Betul tak? Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia 
pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji 
kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi'raj. 
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Penglihatanya (Muhammad) tidak 
berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya 
(tidak memandang dengan tajam)." (An-Najm: 17). 
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala 
itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan 
Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. 
Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di 
hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan 
memfokuskan pandangan ke tempat sujud. Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, 
bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai
 bukti kita cintakan Dia. 
- Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
- Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia? Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata,  kita sama-sama jadikan 
Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, 
pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. 
Mudah 
sahaja, contohnya:
"Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni."
"Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya."
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang 
mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering 
mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan 
mengingatinya di saat susah. 
- Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat 
mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak 
tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak 
pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan 
tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan 
batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang 
musuh. 
Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata 
Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup 
tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah 
agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu 
ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT 
sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih 
mencintai Dia.
- Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. 
Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. 
Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah 
cinta. 
- Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Sungguh, orang-orang yang beriman 
ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila 
dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya 
kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal."(Al-anfal:2).
Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha 
mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang 
tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.
- Cemburu
Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah 
SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih 
kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang 
positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama', dan orang yang 
lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk 
mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang 
solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk 
kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.
- Berusaha keras meraih redha Allah.
Apabila kita sanggup
 melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 keadaan pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
- Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
- Cinta makin menguat dan dia patuh.
- Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tanda cintakan Allah 
S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T 
murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah.” Baihaqi
Dipetik dari sumber http://www.iluvislam.com.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan