ANTARA
 ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang 
mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan 
berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat
 cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.
Sabda
 Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu 
adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat 
Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Jadi,
 berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita 
sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk 
mempelajari serta membacanya.
Jika
 selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar 
setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai 
amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Bina satu slogan peribadi, ‘Tak 
Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita 
dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa.
Keuntungan
 seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan 
diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan 
ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.
Rasulullah
 SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud: “Bacalah 
al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan 
syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Seperkara
 lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah 
metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus 
kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.
Justeru,
 bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan 
berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.
Pesan
 Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada orang yang berkumpul di salah
 satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka
 akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan
 nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” (Hadis riwayat 
Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)
Berdasarkan
 apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang 
selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin 
yang dicintai Allah.
Malah,
 Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan 
ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW: “Yang paling utama 
dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Membina
 keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan 
kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi 
rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya
 al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.
Membentuk
 jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling 
ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan 
biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana 
kesannya amat buruk.
Ingatlah
 pesanan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak
 ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” 
(Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)
Mempelajari
 dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa 
sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.
Kesungguhan
 kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca 
al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi 
Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya 
kerahmatan Allah.
Baca
 dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada 
sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk 
mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat 
seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Justeru,
 dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan
 membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja 
diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan