Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan
bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu
muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk
merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya
ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis
interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun,
kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang
anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam
meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg
disyorkan ini pasti membuahkan hasil.
1-BERTENTANG MATA
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam
anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah
anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia
sedang membina memorinya.
2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di
wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi
memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan
dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.
3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN
Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya
adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi
IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan
hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..
4-JELIRKAN LIDAH
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat
meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian
masalah di awal usia.
5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan
kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, ‘bacalah’ buku itu bersama-sama
sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang
dan cerita haiwan.
6-GELETEKLAH BAYI ANDA
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam
perkembangan humour bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan
‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak bagaimana hendak
menjangka apa yang bakal berlaku.
7-TUNJUKKAN PERBEZAAN
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka
bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi
ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi
tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan
teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam
pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.
8-BERKONGSI PANDANGAN
Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh
diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak
kepadanya. “Tengok anak kucing tu.” atau “Besarkan pokok ni!” atau
“Dengar tak bunyi bomba tu?” – untuk membekalkan bayi anda dengan
sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu
anda sendiri (“mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin….”) .
Mainkan lagu Beethoven atau Beatles… Ada kajian yang mencadangkan bahawa
mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.
10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan
atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi
menjangka rutin.
11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera,
kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain
tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana
rasanya.
12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah
pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana
menghiburkan bayi.
13-BERI KATA KUNCI
Jika anda berkata, “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.
14-BERI KEJUTAN
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya
perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.
15-SEDIAKAN BANYAK TISU
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa
sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok.
Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.
16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan
dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga
kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.
17-MAIN CAK-CAK
Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.
18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai
bersama bayi anda – tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan.
Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.
19-MAIN DENGAN WARNA
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna
sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian,
suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.
20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang
berbeza – termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan
daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.
21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi
makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa
kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji
hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis,
letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan
eksperimennya sendiri.
22-BIAR DIA MEMBEBEL
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.
23-LATIHAN MENEKA
Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di
bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari
mainannya.
24-BINA LALUAN HALANGAN
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal,
kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.
25-IKUT RENTAKNYA
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya
untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan
seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK
Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh
sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan
jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda.
Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya
untuk membiarkan anak kembali meneka.
27-RASA SEKELILING ANDA
Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan
tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain
sambil me’label’ barangan tersebut.
28-CERITAKAN KISAH DONGENG
Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.
29-BAYANGAN WAJAH
Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin
menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia
akan menyukainya bila bayi “yang lagi satu” senyum dan melambai
padanya.
30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu
daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan,
contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira – dan boleh
berlatih menghafal nama warna.
31-GOYANGKAN BADAN
Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.
32-JADILAH TAMAN PERMAINAN
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak
di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan
lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran
menyelesaikan masalahnya.
33-KIRA SEMUANYA
Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau
jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan
kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.
34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA
Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala
jenis soalan daripada soalan abstrak (“adik rasa kenapa Pekan nak makan
telur tembakul ibunya?”) sehinggalah ke soalan konkrit (“Pernah tak
adik nampak kucing putih?”)
35-TUTUP TV
Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang
tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan
itu mengajarnya.
36-TUKAR PEMANDANGAN
Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat
mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap
kali waktu makan.
3 7-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA
Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan
bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun
ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas
lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi
anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya
menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA
Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak,
main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah
video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.
39-MAIN HUJAN
Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah
bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu
cara belajar tentang basah dan kering.
40-MENANGKAP SERANGGA
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird,
cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke
taman bunga untuk mencarinya.
41-BERGURAU- SENDA
Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan “Ini Ibu.” Kemudian akui
kebodohan anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri
humour dalam dirinya.
42-MAIN DENGAN PAKAIAN
Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali
topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan
biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.
43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan
biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya
menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana
lebih besar dan yang mana lebih kecil.
44-HASILKAN ALBUM KELUARGA
Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya
untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan
gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA
Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci
mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju
lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN
Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau
tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak
menjemukan.
47-CONTOHI CARA SESAME STREET
Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang
bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan
tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.
48-MAIN BERULANG-ULANG
Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti
kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan
permainan lamanya itu.
49-MAIN “TIRU-MENIRU”
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.
50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN
Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia
gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda
akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi.
Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.
Jom pakat2 try yer....Selamat mencuba!